KUCHING, 8 Sept: Upacara menaikkan bendera Ibu Pertiwi di Dataran Ibu Pertiwi akan dipromosikan secara lebih giat bagi menarik kehadiran pengunjung terutama pelancong luar.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mengambil langkah awal dengan melakukan promosi pada Ahad pertama setiap bulan.
“Memang kita sudah lakukan promosi, mereka (DBKU) sudah lakukan sebulan yang lalu.
“Saya merasakan pelancong juga menyedari dan mengetahui mengenai upacara ini kerana mereka boleh lihat Kuching dari pelbagai sudut apabila datang ke sini,” katanya ketika ditemui selepas Upacara Menaikkan Bendera Ibu Pertiwi Edisi Bulan September di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi dan Datuk Bandar Kuching Utara Hilmy Othman.
Upacara tersebut yang dilangsungkan sejak Julai lepas diserikan dengan pelbagai acara menarik termasuk persembahan pancaragam.
DBKU sebelum ini menyatakan upacara tersebut diadakan bertujuan memastikan penukaran dan pengibaran bendera Ibu Pertiwi dijalankan dalam keadaan tertib dan dengan cara sopan.-TVS