KUCHING, 8 Sept: Insiden bendera Ibu Pertiwi yang terlepas dari tiang dan jatuh ke dalam Sungai Sarawak baru-baru ini disifatkan sebagai kejadian luar jangka.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) memandang serius kejadian tersebut dan memberi jaminan insiden sama tidak akan berulang.
“Ia berlaku disebabkan kabel putus dan kita menggantikannya dalam tempoh 24 jam.
“Kita akan memastikan bendera yang diganti lebih kukuh dengan kabelnya adalah baharu,” katanya ketika ditemui selepas Upacara Menaikkan Bendera Ibu Pertiwi Edisi Bulan September di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Bandar Kuching Utara Hilmy Othman.
Mengulas lanjut, Dr. Abdul Rahman menjelaskan, kualiti bendera Ibu Pertiwi adalah tinggi dengan bahan sama yang digunakan Jalur Gemilang di Dataran Merdeka dan bendera Turkiye di Istanbul.
“Kita telah menghantar pegawai untuk memeriksa dan meneliti kualiti bendera yang digunakan di beberapa bandar di luar negara.
“Bendera yang kita gunakan sekarang diimport dari China dan apabila ada usahawan negeri ini yang boleh menghasilkannya, kita minta mereka tampil ke hadapan kerana kemungkinan kita akan mendapatkannya daripada mereka,” ujarnya.
Baru-baru ini tular di laman media sosial mengenai bendera Ibu Pertiwi terlepas dan terjatuh ke dalam Sungai Sarawak disebabkan cuaca buruk yang melanda Kuching ketika itu.-TVS