JAKARTA, 7 Sept: Pasukan petugas untuk memperincikan dalam konteks memperkasa tenaga ditubuhkan oleh Malaysia dan Indonesia.
Perkara itu disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang menyebut kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama dan menubuhkan pasukan petugas itu.
Menurut Fadillah, pasukan petugas nantinya akan memperincikan cadangan dan penyelesaian berhubung bekalan tenaga antara Malaysia dan Indonesia termasuk tenaga boleh diperbaharui dalam masa terdekat.
“Satu pasukan petugas telah ditubuhkan, dan Isnin ini mereka akan bermesyuarat untuk memperincikan semua inisiatif dan cadangan daripada pandangan kedua-dua pihak,” katanya.
Fadillah mendedahkan antara tugas mereka, salah satunya adalah mengenai bekalan tenaga dari Sarawak ke Kalimantan Barat, yang mungkin dapat ditingkatkan lagi kapasitinya berikutan pembinaan tenaga hidro yang giat dilakukan oleh Sarawak.
Selain itu, inisiatif untuk mewujudkan industri hijau bersama antara Sarawak dan Indonesia di Kalimantan juga akan dimasukkan dalam cadangan pasukan petugas itu.
Bagaimanapun, semua inisiatif dan cadangan akan merujuk semula kepada kerajaan Malaysia dan Sarawak dan melibatkan pihak berkepentingan yang terlibat dan dalam tempoh dua minggu ia dijangka mencapai matlamatnya. – TVS