KUCHING, 7 Sept:Program Sarawak Women of Tomorrow (SWOT) 2024 menjadi platform kaum wanita menguasai pelbagai kemahiran bagi memberikan sumbangan bermakna memacu transformasi digital negara.
Penasihat Khas kepada Premier Sarawak, Dato Sri Rohani Abdul Karim berkata, menurut laporan terkini dari Kesatuan Antara Parlimen dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bilangan wanita dalam peranan kepimpinan politik di seluruh dunia telah meningkat.
“Keperluan untuk kepimpinan yang lestari adalah jelas, di sinilah inisiatif seperti SWOT menjadi tidak ternilai kepada wanita ini,” katanya ketika berucap merasmikan hari pertama program SWOT 2024 di salah sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Beliau berkata, kepimpinan wanita tidak terhad kepada bidang politik dan menurut Laporan Global Kesetaraan Jantina EquiLeap, kehadiran wanita dalam peranan kepimpinan eksekutif di seluruh syarikat di seluruh dunia masih terhad.
“Ini menekankan kepentingan pemerkasaan wanita dengan alat yang diperlukan untuk memecahkan halangan dan mengambil peranan kepimpinan dengan kelestarian sebagai teras,” ujarnya.
Beliau juga menambah bahawa Indeks Jurang Jantina Global meletakkan Malaysia di tempat ke-103 daripada 146 negara, dengan ruang untuk penambahbaikan yang ketara.
“Tetapi melalui usaha berterusan kerajaan, penglibatan korporat, dan program seperti SWOT, kami sedang membuat kemajuan yang mantap dalam memastikan bahawa wanita di Malaysia, terutamanya di Sarawak, bersedia untuk memimpin dalam dunia yang sedang berkembang hari ini,” katanya lagi.
Mengulas mengenai SWOT 2024, beliau berkata, bahawa ia merupakan platform yang unik untuk wanita menguasai pelbagai kemahiran kritikal dalam kepimpinan, keusahawanan, etika, tadbir urus, dan teknologi ramalan.
Katanya, bootcamp itu lebih daripada sekadar program, kerana ia adalah seruan untuk bertindak.
SWOT anjuran Women Leadership Foundation (WLF) dilancarkan pada tahun 2022 dengan pelbagai program memperkasakan wanita untuk kemajuan masyarakat dan keterangkuman.
Memasuki tahun ke 2024, SWOT tahun ini muncul dengan tema “Empowerment For Sustainable Leadership: Navigating Tomorrow’s Challenge”.
Turut hadir ialah Pengerusi Sarawak Media Group (SMG), Dato Norhyati Ismail dan Pengerusi WLF, Datuk Dr Hafsah Hashim. – TVS