MIRI, 7 Sept: Sarawak mengambil langkah strategik dalam memimpin peralihan tenaga hijau yang bermula seawal tahun 1985 dengan pembinaan empangan hidroelektrik pertama di Batang Ai.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr. Hazland Abang Hipni berkata, sekarang Sarawak membangunkan ekonomi hijau yang disifatkan sebagai tenaga paling demokratik.
Menurutnya, ini kerana mana-mana negara yang mempunyai air dan tenaga boleh menghasilkan hidrogen.
“Dengan pelbagai projek tenaga hijau yang sedang dilaksanakan termasuk hidrogen, solar terapung dan biojisim, Sarawak bersedia menggandakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri kepada RM282 bilion menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Pameran dan Persidangan Peralihan Tenaga Antarabangsa 2024 (ICETe’ 24′ di Curtin Universiti Malaysia, hari ini.
Dr. Hazland turut menekankan potensi besar Sarawak dalam teknologi tenaga baharu seperti angin luar pesisir dan tenaga kinetik ombak.
“Tenaga hidroelektrik adalah kekuatan kita, tetapi kita juga meneroka potensi tenaga lain untuk menjamin masa depan mampan,” ujarnya.
Menurutnya, Sarawak juga sedang melaksanakan projek penyimpanan karbon (CCS) yang pertama di rantau ini dengan pelancaran dijangka pada 2026.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerjasama global sebagai kunci kejayaan dalam peralihan tenaga.
Tambahnya, Sarawak kini bekerjasama dengan syarikat antarabangsa seperti Sumitomo dan Samsung untuk membangunkan teknologi hidrogen serta tenaga hijau.
“Kita bekerjasama dengan Sumitomo, Samsung, dan beberapa syarikat lain. Kewangan dan perniagaan lebih mencabar kerana memerlukan banyak program namun dasar kita yang agresif dan jelas menarik minat bank serta pelabur termasuk dari Arab Saudi yang kini datang kepada kita,” jelasnya.
Melalui kerjasama yang erat dan dasar yang mantap ini, Sarawak akan terus menjadi peneraju dalam peralihan tenaga hijau di rantau ini dan di peringkat global. – TVS