KULIM, 6 Sept: Jabatan Imigresen Malaysia memberkas 228 pekerja warga asing menerusi operasi bersepadu di sini melibatkan premis yang menggunakan agensi pekerjaan yang menawarkan perkhidmatan menukar majikan secara tidak sah kelmarin.
Operasi berkenaan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota imigresen dari Unit Risikan dan Operasi, Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah.
Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, tangkapan tersebut melibatkan 222 lelaki warga Bangladesh, tiga lelaki dan dua wanita warga China serta seorang warga India.
“Agensi pekerjaan yang terbabit dikatakan menawarkan perkhidmatan menukar majikan dalam pelbagai sektor pekerjaan dengan bayaran yang telah ditetapkan.
“(Sepatutnya) Kelulusan diperlukan terlebih dahulu sebelum pekerja boleh dibekalkan (menukar) kepada majikan baharu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati agensi tersebut dipercayai menggunakan platform media sosial untuk mempromosikan penawaran pekerja di kesemua sektor kepada majikan yang berminat.
“Agensi itu meyakinkan majikan yang terdesak memerlukan pekerja untuk mendapatkan kelulusan segera,” tambahnya.
Katanya, kesemua suspek kemudiannya dibawa ke Pejabat Imigresen Alor Setar dekat sini untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Akta Pasport 1966 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Manusia 2007. – TVS