JAKARTA, 5 Sept: Malaysia akan memainkan peranan penting dalam merealisasikan Grid Kuasa ASEAN yang akan menghubungkan negara-negara di rantau ini menerusi sistem grid tenaga bersama.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata agenda ini bertujuan mewujudkan masyarakat ASEAN yang bersatu padu, yakni setiap negara mempunyai kelebihan sumber tenaga tersendiri dan kelemahan boleh diatasi melalui kerjasama serantau.
“Dengan Grid Kuasa ASEAN, setiap negara akan dapat berkongsi sumber tenaga mereka, menjadikan rantau ini lebih bebas dan kukuh dalam menghadapi cabaran tenaga global,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan diaspora Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di sini pada Rabu.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kerjasama serantau dalam bidang bekalan tenaga dan memastikan setiap negara anggota ASEAN dapat membantu antara satu sama lain dalam situasi kekurangan tenaga.
Beliau berkata grid tenaga ini akan memberi peluang kepada ASEAN untuk menjadi peneraju dalam pembekalan tenaga bersih dan boleh diperbaharui, tarikan besar dunia luar.
Jelasnya, Grid Kuasa ASEAN bukan sekadar platform untuk perdagangan tenaga, tetapi juga simbol perpaduan dan sokongan antara negara ASEAN dalam usaha mencapai kemajuan bersama. – TVS