MIRI, 3 Sept: Kajian berkaitan sistem sokongan untuk golongan warga emas di Sarawak bagi menghadapi fasa penuaan akan dilaksanakan pada Oktober depan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Menurutnya kajian Indeks Kesejahteraan Sosial Sarawak yang dijalankan setiap dua tahun itu diadakan berikutan rakyat wilayah ini dikenal pasti memiliki jangka hayat yang panjang dan kadar kesuburan yang rendah.
Fatimah mendedahkan kajian tersebut akan dilaksanakan di bawah Majlis Pembangunan Sosial (MPS) melibatkan tiga universiti di Sarawak iaitu Curtin University Malaysia, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), dan Swinburne University of Technology Sarawak.
Tambahnya tumpuan demografi kajian akan menjurus kepada wilayah utara dan selatan Sarawak.
“Kajian ini bertujuan untuk menjadi garis panduan yang menyeluruh dan intensif serta melibatkan ramai responden, terutamanya di kawasan bandar dan luar bandar, peringkat bahagian dan daerah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Penyelidikan Komuniti dan Kelangsungan Globesync (Globecores 2024) di Curtin University Malaysia, Miri, di sini hari ini.
Beliau juga berharap kajian terbabit dapat menghasilkan cadangan yang jelas mengenai jurang yang wujud.
“Kami tidak bermula dari kosong kerana sudah mempunyai sistem sokongan untuk golongan warga emas, tetapi kami sedar masih terdapat jurang yang perlu ditangani,” jelasnya.
Dalam pada itu, Fatimah berharap kajian terbabit akan menangani jurang yang ada selain mewujudkan sistem sokongan yang tepat menjelang 2028.
Sebelum ini, Fatimah pernah mendedahkan bahawa Sarawak akan menjadi negeri pertama di Malaysia berstatus negeri tua pada 2030.-TVS