KUCHING, 3 Sept: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) hari ini menggantikan Bendera Ibu Pertiwi baharu susulan bendera lama tercabut akibat hujan lebat melanda bandar raya ini semalam.
DBKU menerusi hantaran di Facebook berkata, bendera lama tersebut dilaporkan tercabut dan terjatuh dalam Sungai Sarawak kira-kira jam 11 malam tadi, namun berjaya diselamatkan lima pengawal keselamatan yang bertugas di Dataran Ibu Pertiwi.
“Diangkat sebagai unsung hero, DBKU memuji langkah yang diambil pengawal keselamatan dan mahu orang ramai menjiwai semangat cintakan negeri dan negara.
“Inilah perpaduan dan semangat yang harus kita tunjukkan untuk generasi akan datang,” menurut hantaran itu.
Selain insiden bendera tercabut daripada tiang bendera, beberapa pokok di sekitar kawasan Kuching turut dilaporkan tumbang dan kerja-kerja pembersihan telah dilaksanakan dengan segera.
DBKU turut berterima kasih kepada pihak yang bertanggungjawab seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan DBKU atas tindakan pantas bagi menangani isu pokok dan stuktur tumbang serta memastikan lalu lintas dikawal. – TVS