KUCHING, 3 Sept: Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) mengenal pasti serpihan kayu yang hanyut di Sungai Krangan, Balai Ringin berpunca daripada pembukaan tanah yang tidak terkawal oleh sebuah syarikat perladangan dan kerja meratakan tanah.
Controller Kualiti Alam Sekitar Sarawak, Jack Liam berkata, NREB Sarawak telah mengambil langkah-langkah penting untuk menangani situasi ini yang dipercayai telah mengganggu Titik Pengambilan Air (WIP) yang membekalkan air ke loji rawatan air Balai Ringin.
“Syarikat yang bertanggungjawab terhadap aktiviti ini telah dikenakan penalti atas pelanggaran mereka kerana membuka zon penampan di sepanjang sungai dalam kawasan ladang mereka serta NREB sedang menjalankan penyiasatan yang teliti untuk menentukan jika terdapat sebarang pelanggaran tambahan dalam zon penampan.
“Jika pelanggaran tambahan ditemui, kami akan memulakan siasatan dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab, termasuk membawa mereka ke mahkamah untuk pendakwaan,” katanya dalam kenyataan media susulan insiden sisa dan serpihan balak yang hanyut serta terapung akan mengancam water intake point (WIP) di Balai Ringin, pada Selasa.
Selain itu katanya, syarikat tersebut telah diarahkan untuk mengeluarkan dan membersihkan semua serpihan dan kayu yang menghalang sungai bagi memulihkan aliran normal sungai, mencegah kemungkinan banjir, dan memastikan bahawa Titik Pengambilan Air serta kehidupan penduduk kampung dilindungi.
“Syarikat tersebut juga dikehendaki untuk memulihkan kawasan yang telah terjejas dengan menanam spesies pokok asli di zon penampan yang terjejas. Langkah ini diperlukan untuk memulihkan keseimbangan ekologi dan mencegah kerosakan alam sekitar yang serupa pada masa hadapan,” tambahnya.
Justeru, NREB komited untuk menguatkuasakan undang-undang alam sekitar dan memastikan insiden seperti ini ditangani dengan cepat dan berkesan disamping terus memantau situasi ini dengan rapi, serta mengambil semua langkah yang perlu untuk melindungi alam sekitar dan kesejahteraan komuniti tempatan, serta memastikan semua pihak yang bertanggungjawab dipertanggungjawabkan. -TVS