KUCHING, 2 September: Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran ribut petir membabitkan lima negeri iaitu Kedah, Terengganu, Pahang, Johor dan Sarawak yang dijangka akan berakhir pada 7 malam ini.
Di Sarawak, dua bahagian yang kini sedang berlaku ribut petir ialah Kuching dan Kota Samarahan.
Menerusi tinjauan TVS di media sosial, berlaku insiden pokok tumbang di beberapa kawasan seperti di Bulatan Gersik Petrajaya menuju ke Perumahan Darul Hana, Kampung Tupong Tengah, Wisma Pelita serta di kawasan Pusat Perubatan Normah.
Di kawasan Klinik Kesihatan Tanah Putih, Pending turut dilaporkan berlaku banjir kilat.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan berhati-hati ketika menunggang atau memandu kenderaan di jalan raya dan peka dengan keadaan sekeliling terutama semasa hujan lebat. – TVS