SIBU, 31 Ogos: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menjelaskan Sarawak mengalami perubahan besar sejak pembentukan Malaysia 61 tahun lalu.
Abang Johari berkata, walaupun beberapa bidang masih perlu diberi perhatian, beliau yakin dasar jelas Kerajaan Sarawak dan disokong Kerajaan Persekutuan mampu menjadikan pembangunan di wilayah ini lebih seimbang.
“Kalau Semenanjung maju, Sarawak dan Sabah juga maju, saya yakin negara ini akan menjadi lebih kukuh dalam perpaduan rakyat dan wilayahnya,” katanya.
Pada masa sama, Abang Johari melahirkan keyakinan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) akan menjadikan Sarawak sebuah wilayah progresif, inklusif dan lestasi.
“Terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan, sokongan mereka akan terus mendorong pertumbuhan ekonomi Sarawak termasuk dalam meningkatkan hasil.
“Alhamdulillah, sejak kebelakangan ini, kita mempunyai peluang untuk meningkatkan hasil negeri. Terima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang prihatin terhadap usaha Sarawak mendapatkan hasil daripada sumber alam,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Malaysia bekerjasama dan membina perkongsian yang menguntungkan demi masa depan lebih makmur.-TVS