KUCHING, 31 Ogos: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyeru anak-anak muda Sarawak menghayati nilai dan makna sebenar kemerdekaan.
Amanat berkenaan disampaikan beliau menerusi perutusan Hari Kebangsaan hari ini selain mengharapkan golongan itu mendalami erti nilai jasa para pejuang kemerdekaan terdahulu.
Beliau juga mahu rakyat Sarawak celik akan sejarah dan tidak mudah lupa dengan perjuangan serta pengorbanan leluhur nenek moyang terdahulu demi untuk mencapai kemerdekaan.
”Ketahuilah bahawa orang yang kurang celik sejarah, tidak mahu tahu sejarah negara, akan membuatkan jiwa merdeka jadi kosong. Bila jiwa kosong, ini akan mengancam suasana harmoni yang kita sudah kecapi selama ini.
“Kalau kita semua celik sejarah, tahu sejarah, kita akan mempunyai semangat yang berkobar-kobar untuk memajukan negara ke arah yang lebih baik. Kita akan menjadi insan yang mempunyai semangat patriotik dan rasa cinta yang mendalam akan negara kita,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Tun Dr Wan Junaidi, semangat cintakan negara akan menjamin masa depan untuk kekal hidup aman dalam suasana yang harmoni, hormat menghormati, bersatu padu dan saling bertoleransi dalam semua aspek kehidupan.
Sehubungan itu, beliau sekali lagi menyeru agar bersama-sama bekerja berganding bahu dalam memperkukuh ekonomi dan membangunkan negara.
Beliau turut mengingatkan agar rakyat Sarawak sentiasa berwaspada terhadap unsur-unsur dalam dan luar negara yang boleh menghancurkan apa yang sedang dinikmati sekarang. – TVS