KUCHING, 30 Ogos: Hari Kebangsaan bukan sekadar masa memperingati erti kemerdekaan tetapi untuk mengimbas kembali perjuangan pemimpin terdahulu.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pemimpin terdahulu berkorban tanpa mengenal erti penat lelah demi menuntut kemerdekataan.
“Menjadi tanggungjawab kita untuk meneruskan legasi ditinggalkan pejuang terdahulu dengan memastikan generasi akan datang mengecapi nikmat kemerdekaan,” katanya menerusi perutusan sempena Hari Kebangsaan ke-67.
Uggah berkata, dunia sekarang semakin berubah yang mana teknologi, inovasi dan globalisasi mengubah kehidupan masyarakat.
“Ketika kita memupuk perpaduan dan kebebasan, kita juga perlu melengkapkan diri sendiri dan generasi akan datang dengan pengetahuan serta kemahiran diperlukan dalam era baharu kini,” ujarnya.
Tambahnya, setiap rakyat Malaysia bukan sahaja perlu mengukuhkan perpaduan tetapi menjadi lebih progresif dan inovatif.
“Mari kita mengukuhkan semangat merdeka dengan menyemai budaya kreatif dan bekerjasama, ” jelasnya. -TVS