SYDNEY, 29 Ogos: Peranan Malaysia selaku pengerusi ASEAN dicadangkan agar mengenegahkan langkah strategik ke arah matlamat pengurangan pelepasan gas rumah hijau.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg optimis kepengerusian ASEAN pada 2025 membentuk interaksi berkaitan tenaga hijau antara blok ASEAN dan negara-negara serantau.
“ASEAN sebagai sebuah blok akan berinteraksi dengan negara-negara jiran termasuk Australia, Korea, dan Jepun, di mana mesti ada satu matlamat bersama untuk mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau,” kata Abang Johari.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas berucaptama di Forum Perniagaan Australia-ASEAN 2024 di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) Sydney, Australia pada Khamis.
Beliau turut menyentuh berkaitan keperluan untuk mencari penyelesaian dalam pelaksanaan dasar-dasar yang menyokong matlamat hijau ini, termasuk dalam sektor pertanian dan keselamatan makanan.
“Kita perlu melihat cara-cara untuk melaksanakan dasar tersebut, termasuk dalam pemakanan, di mana pengeluaran makanan hijau dan juga produk hijau lain harus ditingkatkan,” tambah beliau.
Abang Johari turut menekankan bahawa penggunaan tenaga hijau adalah kunci dalam memastikan industri berat seperti pengeluaran besi dapat mengurangkan jejak karbonnya.
“Tenaga yang digunakan mesti tenaga hijau, yang akan meneutralkan jejak karbon,” tegas beliau.
Menurut beliau, kerjasama erat antara ASEAN dan negara-negara seperti Australia adalah penting dalam merealisasikan visi ekonomi hijau yang lebih inklusif dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar. – TVS