BEIJING, 29 Ogos: Satu perempat daripada tenaga yang digunakan di China kini diperolehi menerusi sumber bersih, menurut penyelidikan yang diterbitkan pada Khamis.
Beijing ketika ini secara pantas menggerakkan ekonominya yang besar ke landasan yang lebih hijau.
Negara itu sebelum ini merupakan penghasil gas rumah hijau terbesar di dunia namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini mereka muncul sebagai peneraju global dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.
China berjanji untuk mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida yang meningkatkan suhu bumi dan berhasrat mencapai sifar karbon menjelang 2060.
Kertas putih yang diterbitkan itu turut menjelaskan penggunaan tenaga bersih di negara itu meningkat daripada 15.5 peratus kepada 26.4 peratus sejak sedekad lalu, menurut agensi berita Xinhua.
Kapasiti angin dan solar meningkat sepuluh kali ganda dalam tempoh yang sama, tambah Xinhua yang memetik dokumen itu.
Ia berkata, China juga bertanggungjawab terhadap lebih 40 peratus penambahan tahunan kepada kapasiti tenaga boleh diperbaharui global sejak 2013.
“China telah mencapai kejayaan bersejarah dalam pembangunan tenaga hijau dan rendah karbon,” kata kertas putih itu.
Di bawah Perjanjian Iklim Paris 2025, negara-negara di seluruh dunia berjanji untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau bagi mengekalkan kenaikan suhu global di bawah 1.5 celsius.
China mendapat pujian atas usahanya untuk segera menghentikan penggunaan sumber tenaga yang mencemarkan seperti arang batu.
Minggu lalu, kapasiti tenaga angin dan solarnya melepasi sasaran lebih awal enam tahun daripada jadual asal berbanding yang ditetapkan oleh Presiden Xi Jinping. -TVS.