KUCHING, 26 Ogos: Sarawak telah mengenal pasti sebanyak 18 jenis acara yang akan dilangsungkan di wilayah ini selaku tuan rumah bersama Sukan SEA 2027.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) namun belum menerima kata putus.
“Ada 36 acara sukan, 18 daripadanya dicadangkan di Sarawak tetapi belum dimuktamadkan.
“Kita sudah pilih sukan yang kita mahu (anjurkan) berdasarkan kemudahan sedia ada di sini serta turut melihat permintaan Premier Sarawak (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg supaya) upacara perasmian diadakan di Kuching,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyempurnakan Majlis Penutup SUKMA 2024 di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak pada Sabtu berkata Kerajaan Persekutuan bersetuju agar Sarawak menjadi penganjur bersama bagi Sukan SEA 2027.
Ketika Sidang Dewan Negara bulan lepas, Hannah memaklumkan Kerajaan Sarawak bersetuju menyediakan peruntukan RM350 juta untuk menganjurkan separuh acara Sukan SEA 2027.
Jelas Hannah, kos berkenaan bersamaan 50 peratus bagi penganjuran 18 jenis acara Sukan SEA dan lapan jenis Sukan Para ASEAN.
Sementara itu, Abdul Karim memaklumkan upacara penutupan Sukan SEA 2027 boleh diadakan di Kuala Lumpur atau lokasi lain yang difikirkan sesuai oleh KBS.
Ketika kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah pada 2017, beberapa acara diadakan di luar Kuala Lumpur dan Selangor iaitu berbasikal di Nilai, Negeri Sembilan, ekuestrian di Terengganu dan perahu layar di Langkawi, Kedah. -TVS.