MIRI, 26 Ogos: Rampasan dadah jenis syabu seberat lebih 105 kilogram (kg) pada Ahad lalu di Miri merupakan rekod terbesar dalam sejarah penguatkuasaan undang-undang di Sarawak, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata.
Menurutnya, hasil tangkapan ini membuktikan keberkesaan risikan dan operasi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak.
“Ini merupakan tangkapan kedua di Miri, tapi yang kali ini merupakan tangkapan terbesar di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan di sini, hari ini.
Tambahnya lagi, ia menunjukkan peningkatan kegiatan jenayah dadah di kawasan tersebut.
Miri juga katanya menjadi salah satu daerah yang digunakan sebagai transit untuk sebarang aktiviti pengedaran dadah di Sarawak.
Ujar Mancha, rampasan dadah terbesar di Sarawak sebelum ini adalah pada sekitar tahun 2014. – TVS