KUCHING, 26 Ogos: Atlet Sarawak yang berjaya meraih pingat pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 akan menerima insentif masing-masing pada 14 September ini dalam majlis makan malam anjuran Kerajaan Sarawak.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mahu insentif itu diberikan kepada para atlet secepat mungkin.
“Lebih kurang 20 hari lagi, maknanya ada masa yang mencukupi untuk kita membuat persediaan kerana saya mahukan majlis ini diadakan dengan meriah,” katanya pada sidang media Anugerah Pelancongan Kenyalang di sini, hari ini.
Sebelum ini, Abang Johari mengumumkan atlet Sarawak yang meraih pingat emas akan diberikan RM15,000 untuk setiap pingat dimenangi, pingat perak (RM5,000) manakala gangsa (RM3,000).
Sementara itu, Abdul Karim menjelaskan, pembahagian insentif untuk pemenang berpasukan ada perbezaan sedikit berbanding pemenang individu.
Pemenang pingat acara berpasukan akan menerima insentif tidak kurang dari RM3,000 seorang untuk pingat emas, tidak kurang dari RM2,000 (perak) dan tidak kurang dari RM1,000 (gangsa).
SUKMA Sarawak 2024 yang berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos menyaksikan kontinjen Sarawak muncul juara dengan 76 pingat emas, 55 perak dan 70 gangsa.