KUALA LUMPUR, 22 Ogos: Menceburi bidang pekerjaan yang boleh dikatakan “hampir tidak wujud” dalam kamus komunitinya, Veena Angelina Jincis daripada suku Semai berbangga menjadi antara kru kabin Orang Asli yang pertama di syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS).
Berasal dari Kampung Orang Asli Batu Tiga, Tapah, Perak, gadis berusia 22 tahun itu merupakan antara empat pelatih kru kabin Orang Asli yang berjaya menamatkan latihan selama tiga bulan di MAB Academy, Sepang, Selangor dan memulakan tugas masing-masing pada Mei lalu.
Berkongsi kisahnya dengan Bernama, Veena Angelina berkata dia mencuba nasib memohon pekerjaan itu kerana “ingin menjadi lain daripada yang lain” dalam kalangan ahli komunitinya.
“Kerjaya pramugari ni macam tidak ada (tidak wujud) dalam komuniti Orang Asli, kerana kebiasaannya komuniti kami tidak yakin akan dapat pekerjaan yang memerlukan penampilan cantik. Kebanyakan kami cuma kerja kampung, jadi tentera dan jururawat,” katanya.
Malah kata Veena Angelina, dia juga tidak menyangka berjaya lulus temu duga dalam percubaan pertamanya.
“Saya tertarik untuk jadi pramugari kerana melihat imej yang ditampilkan dalam drama di televisyen – cantik bergaya sambil menarik beg di lapangan terbang,” katanya, menambah bagaimanapun persepsinya terhadap kerjaya itu berubah selepas hampir tiga bulan bertugas.
Menurutnya, kerjaya itu tidak semudah yang disangka, kerana selain tugas menjaga keselesaan penumpang, kru kabin juga perlu fokus sepanjang penerbangan bagi memastikan keselamatan penumpang terjamin, di samping tahu berkomunikasi dengan mereka yang mempunyai latar belakang berbeza dan dari pelbagai negara.
“Saya masih lagi menghadapi masalah bahasa, terutama bahasa Inggeris. Namun, senior banyak membantu khususnya ketika memenuhi permintaan penumpang,” katanya yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia.
Menurut anak kedua daripada empat beradik itu, selain menceburi kerjaya yang asing bagi masyarakat Orang Asli, ini juga kali pertama dia “keluar” dari Perak, membuatkan dia adakala begitu rindukan keluarganya.
“Dari segi budaya dan cara hidup, saya tidak ada banyak masalah dan boleh menyesuaikan diri,” kata Veena Angelina, menambah sokongan rakan-rakan banyak membantunya mengadaptasi cara hidup di luar kelompok komunitinya.
Sementara itu, rakannya Sarah Elissa Tang Aman, 24, daripada suku Temuan, mengakui pada peringkat awal dia berasa rendah diri kerana merupakan golongan minoriti dalam program latihan tersebut.
“Kita berempat pernah sama-sama menangis sebab rasa terasing dan susah nak sesuaikan diri ketika latihan. Justeru, kami amat gembira apabila kami lulus semua ujian dan menamatkan latihan dengan jayanya, sekali gus menepis tanggapan negatif terhadap komuniti kami,” katanya.
Dia yang dilahirkan dan dibesarkan di Damansara, Selangor, selepas kedua ibu bapanya berhijrah dari Kampung Sungai Miak, Bentong, Pahang, memasang impian menjadi pramugari sejak kecil lagi.
“Saya gagal temu duga sebanyak dua kali sebelum ini dan berjaya pada percubaan ketiga, berkat doa ibu bapa yang ingin melihat saya mencapai cita-cita saya,” katanya yang memiliki Diploma Teknologi Media daripada sebuah universiti swasta di Subang, Selangor.
Gadis ini turut berharap kejayaannya itu akan membuka mata komuniti di kampungnya yang masih mempunyai perasaan bimbang untuk membenarkan anak-anak mereka meneroka dunia di luar perkampungan mereka.
Kumpulan pertama kru kabin Orang Asli itu merangkumi dua orang daripada suku Semai dan masing-masing seorang daripada suku Jakun dan Temuan. Berdasarkan maklumat di laman sesawang MAB Academy, mereka antara pelatih daripada kumpulan 1 & 2/2024 yang berjaya menamatkan latihan ketat selama tiga bulan. -TVS.