KUCHING, 21 Ogos: Kerajaan Sarawak mencadangkan agar dianjurkan semula Sukan Borneo (Borneo Games).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata idea itu telah dikongsikannya kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Jelas beliau, acara sukan itu nanti melibatkan negara-negara di Borneo iaitu Malaysia khususnya Sarawak dan Sabah, Kalimantan, Indonesia serta Brunei.
“Saya juga akan mengusulkan cadangan ini kepada rakan-rakan dari negara jiran memandangkan kita sedang membuat persiapan untuk Sukan Asia Tenggara (SEA Games).
“Sarawak akan cuba menjadi penaja Sukan Borneo,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, hari ini.
Abang Johari percaya penganjuran acara sukan itu nanti akan menjadi platform dalam mencungkil atlet-atlet sukan bertaraf antarabangsa dari rantau Borneo.
Sukan Borneo pertama telah dianjurkan oleh Brunei pada tahun 1954.
Sabah, Sarawak dan Brunei kemudiannya bergilir-gilir menjadi tuan rumah temasya tersebut sebelum kali terakhir diadakan di Brunei pada 2009. – TVS