KUCHING, 21 Ogos: Mayat kedua mangsa tragedi bot karam di Sungai Kayan, Kampung Selampit, Lundu ditemukan terapung pada 5.30 petang, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Sarawak berkata mayat pelajar perempuan, Helena Fasha Petrus, 17, dijumpai terapung oleh orang awam.
“Mayat mangsa dijumpai satu kilometer dari Pusat Kawalan Bomba di bahagian hilir sungai,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Terdahulu, mayat Vilkie Wilson, 15, dijumpai terapung pada 11.58 pagi.
Usaha mencari seorang lagi mangsa, Alsma Jithil, 14, masih giat dilakukan.
Dalam kejadian pada 6.10 pagi semalam, seramai 15 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senibong, seorang pelajar SMK Lundu dan empat penduduk kampung termasuk pengemudi menaiki perahu tambang.