MUKAH, 21 Ogos: Hasrat skuad bola jaring Sarawak untuk ke separuh akhir tidak kesampaian walaupun menutup aksi peringkat kumpulan dengan kemenangan besar 76-29 ke atas Brunei hari ini.
Perlawanan di Dewan Politeknik Mukah menyaksikan Sarawak mempamerkan aksi cemerlang sejak suku pertama apabila mendahului lawan 20-8.
Rentak kemenangan diteruskan pada suku kedua dengan Sarawak melebarkan jurang mata kepada 38-15 dan seterusnya menambah kelebihan pada suku ketiga dengan skor 58-23.
Pasukan tuan rumah mengesahkan kemenangan dengan keputusan akhir 76-29.
Meskipun Sarawak berjaya mencatat dua kemenangan berturut-turut namun kekalahan tipis kepada Kedah dan Terengganu pada perlawanan pusingan awal menjejaskan peluang ke peringkat seterusnya.
Perlawanan lain dalam Kumpulan B menyaksikan Kedah mengalahkan Terengganu 57-50, Selangor menewaskan Brunei 58-21, Wilayah Persekutuan mengalahkan Sabah 66-34 dan Johor memenangi perlawanan menentang Perak dengan keputusan 53-41. – TVS