KUALA LUMPUR, 20 Ogos: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjunjung kasih di atas ucapan tahniah yang dizahirkan oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada wilayah ini yang menganjurkan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21.
Tun Wan Junaidi dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi berkata, penghargaan oleh Al-Sultan Abdullah kepada Sarawak itu amat bersejarah.
“(Ini) melambangkan kecaknaan yang tidak ternilai serta keprihatinan seorang raja yang berjiwa rakyat yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat Pahang.
“Dengan penuh hormat dan takzimnya, patik dan seluruh rakyat Sarawak ingin menyembah ucapan menjunjung kasih di atas perkenan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Pahang dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Tengku Ampuan Pahang,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Menerusi hantaran Instagram kesultanan.pahang, Al Sultan Abdullah serta Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan tahniah di atas pembukaan SUKMA pada Sabtu lepas yang cemerlang.
Ucapan tahniah turut dizahirkan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
“Sesungguhnya ucapan tahniah Duli Tuanku amat bermakna kepada patik-patik sekalian,”tambah Tun Wan Junaidi. -TVS.