KUCHING, 20 Ogos: Persatuan Jepun-Malaysia (JMA) komited mahu mengukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan Jepun melalui program pemulihan Hutan Hujan Tropika yang dijalankan di Sarawak.
Menurut Naib Presiden JMA, Haruko Arimura, setakat ini sebanyak 900,000 pokok ditanam di Sarawak dengan kerjasama dari pelbagai syarikat dan persatuan dari Jepun serta Kementerian Luar Negeri.
“Dari Jepun kami mempunyai lapan ahli delegasi dari Persatuan Jepun-Malaysia yang komited mengeratkan lagi hubungan Jepun dengan Sarawak, Malaysia.
“Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi mesej yang sangat baik dan penghargaan terhadap komitmen kami dalam usaha untuk memulihara Hutan Hujan Tropika,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Abang Johari di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Haruko berkata, bagi menggalakkan lagi usaha untuk memulihara hutan di Sarawak, JMA akan mengadakan program menanam pokok di Hutan Simpan Sabal pada Rabu.
“Dalam masa terdekat, kami komited untuk menanam sejuta pokok dan sasaran utama kami adalah untuk melangkaui sejuta pokok ditanam. Harapan kami 10 juta pokok ditanam pada masa akan datang,” katanya.
Antara Program Pemulihan Landskap Hutan yang telah dijalankan JMA iaitu Hutan Simpan Balai Ringin, Taman Negara Gunung Apeng, Hutan Simpan Sampadi, Hutan Simpan Bakam, Taman Negara Sabal, Kampus UNIMAS dan di pesisir pantai Kampung Buntal.
Baru-baru ini JMA telah menjalankan fasa pertama projek untuk membaik pulih kehidupan dan persekitaran air di kawasan perkampungan berhampiran dari Mac 2021 sehingga Mac 2024 di kampung-kampung berhampiran Taman Negara Sabal.
Fasa kedua pula dimulakan pada April 2024 yang melibatkan Kampung Sabal Kruin Baru, Kampung Sabal Kruin Lama, Kampung Sabal Keruin Tengah, Kampung Nyalitak, Balai Ringin dan Serian. – TVS