LUNDU, 20 Ogos: Tiga pelajar dikhuatiri hilang dalam insiden bot karam di Kampung Selampit, Lundu pada kira-kira 6.10 pagi ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Sarawak berkata ketika kejadian di Batang Kayan itu, bot dinaiki 20 orang termasuk seorang wanita dewasa dan seorang pengemudi.
Bomba menerima panggilan pada 6.33 pagi dan seterusnya menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lundu ke lokasi.
“Tiga pelajar dikhuatiri hilang, satu lelaki dan dua perempuan. Pencarian awal dilakukan menggunakan bot penduduk kampung,” katanya menerusi kenyataan.
Dalam kenyataan susulan, jurucakap tersebut berkata 15 pelajar disahkan selamat pada 8.05 pagi manakala pencarian tiga lagi pelajar masih giat dijalankan.
Turut berada di lokasi, Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Sarawak Henderi Ardimansyah.
Mereka yang terbabit merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Senibong, Lundu. – TVS