KUCHING 19 Ogos: Gagal membaling sejauh 18 meter seperti disasarkan tidak menghalang Jonah Chang Rigan memecahkan rekod Sukan Malaysia (SUKMA) sekali gus menghadiahkan Sarawak pingat emas pertama dalam acara olahraga.
Jonah melakukan balingan sejauh 17.66 meter.
Pingat perak menjadi milik atlet Sabah, Pang Hong Seng Pang dengan balingan 14.38 meter manakala gangsa miliki Wan Muhamad Irfan Wan Tahar dari Kelantan dengan balingan 13.83 meter.
Menurut Jonah, balingan yang dilakukan beliau agak memuaskan selepas pulih daripada kecederaan.
“Saya masih mempunyai dua lagi acara iaitu lempar cakera dan baling tukul besi.
“Pada masa sama saya memilih untuk menyimpan tenaga untuk meraih pingat bagi dua lagi acara,” katanya.
Berkongsi rahsia kejayaan memecahkan rekod, Jonah berkata, beliau sentiasa melakukan yang terbaik untuk diri sendiri.
Rekod SUKMA sebelum ini milik Adi Aliffdin Husin yang dilakukan pada edisi 2010.