KUCHING, 19 Ogos: Sarawak Forestry Corporation (SFC) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) bagi membangunkan projek Penyelesaian Berasaskan Alam (NbS) di Sarawak.
Menerusi MoU tersebut, kedua-dua pihak bakal mengenal pasti dan meneroka lokasi di Sarawak yang berpotensi untuk dijadikan projek NbS yang akan memanfaatkan komuniti serta biodiversiti tempatan.
Kerjasama ini juga akan memberi keutamaan kepada pembangunan keupayaan dan pengetahuan tempatan yang diperlukan untuk melaksanakan projek NbS.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, NbS adalah aktiviti yang berkaitan dengan pemuliharaan dan pemulihan ekosistem semula jadi untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.
“Penyelesaian Berasaskan Alam bermaksud kita menggunakan modal alam untuk menyelesaikan sesuatu masalah, terutamanya berkaitan perubahan iklim dan pelepasan karbon.
“Dalam erti kata lain, kita menggunakan pokok untuk menyerap karbon, jadi ia berasaskan alam tanpa memerlukan tenaga tambahan,” katanya.
Abang Johari berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani MoU berkenaan di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Pengerusi Sarawak Economic Development Corporation (SEDC) Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain, dan Peguam Besar Negeri Sarawak Datu Saferi Ali. – TVS