KUCHING, 19 Ogos: Kumpulan Senari Synergy hari ini menyerahkan zakat berjumlah RM300,000 kepada Tabung Baitulmal Sarawak dalam satu majlis yang disaksikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Zakat berkenaan disampaikan Pengarah Urusan Kumpulan Senari Synergy, Jefri Ahmad Tambi kepada Pengurus Besar TBS, Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie di pejabat Premier Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.
Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha yang turut hadir berkata, sumbangan tersebut akan dimanfaatkan oleh Tabung Baitulmal Sarawak untuk kegunaan berkaitan pembangunan umat Islam.
Beliau turut memberitahu, pihaknya juga telah menerima kutipan derma sebanyak RM6,200 daripada kakitangan Senari Synergy bagi menyokong inisiatif penyediaan rawatan perubatan bagi rakyat Palestin.
“Tabung ini akan kita salurkan kepada Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) untuk menguruskannya,” ujarnya.
Misnu mendedahkan setakat ini sambutan tabung Palestin menerima sambutan yang memberansangkan dan beliau turut menggalakkan lebih ramai rakyat tempatan menderma kepada tabung itu.
“Kalau seandainya ada lagi mahu menyumbang, boleh menderma ke Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),” katanya. – TVS