KUCHING, 17 Ogos: Kerajaan Sarawak meningkatkan usaha dalam membantu individu mendapatkan taraf kewarganegaraan bagi membolehkan mereka mendapat manfaat yang disediakan kerajaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, sejak permohonan Dokumen Sementara Individu Tanpa Kewarganegaraan di Sarawak (DSITKS) dibuka mulai 1 November 2022 hingga 16 Ogos 2024, secara keseluruhannya, pihaknya telah menerima sebanyak 715 permohonan.
Pihaknya baharu sahaja selesai memproses 306 permohonan baharu DSITKS dalam mesyuarat jawatankuasa khas yang diadakan baru-baru ini.
“Daripada 306 permohonan, 225 telah diluluskan sementara 81 permohonan telah ditolak,” katanya pada Sesi Penyerahan DSITKS di sini, hari ini.
Fatimah berkata lagi, antara faktor yang menyebabkan permohonan seseorang ditolak adalah disebabkan penggunaan dokumen tidak sah semasa mengemukakan permohonan.
Menurutnya, kerajaan Sarawak mengguna pakai DSITKS yang membolehkan pemegangnya menikmati kemudahan antaranya seperti akses kesihatan dan juga dibenarkan untuk bersekolah.
Pada majlis yang sama, Fatimah menyerahkan surat pemakluman kewarganegaraan atau sijil DSITKS kepada tujuh orang penerima yang terdiri daripada kanak-kanak di bawah usia 21 tahun.
Hadir sama Timbalan Menteri KPWK Sarawak, Datuk Rosey Yunus. – TVS