KEPALA BATAS, 13 Ogos: Seorang wanita warga emas maut selepas ditikam dengan gunting di bahagian kepala oleh anak saudaranya di sebuah rumah di Gelung Bubu, Pekan Darat di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa berusia 80 tahun dilaporkan meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya dekat sini.
Difahamkan, kejadian berlaku semasa mangsa yang tinggal berdekatan datang bagi meleraikan pertengkaran antara suspek dan ibunya.
Sumber berkata, suspek berusia 43 tahun tidak berpuas hati terhadap mangsa yang tinggal berdekatan kerana mencampuri urusan antara dia dan ibunya.
“Suspek mencapai gunting di atas meja sebelum menikam bahagian kiri kepala mangsa.
“Dia juga telah mengamuk dan memecahkan cermin tingkap rumah saudaranya yang terletak berdekatan sebelum melarikan diri,” katanya kepada pemberita hari ini.
Katanya lagi, suspek yang dipercayai mempunyai masalah mental berjaya diberkas polis tidak jauh dari lokasi kejadian.
Insiden itu turut menyebabkan ibu suspek mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Kepala Batas di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
“Suspek akan direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – TVS