KUCHING, 13 Ogos: Jabatan Hutan Sarawak bagi pihak Kerajaan Sarawak memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Australia National University bagi mengukuhkan kerjasama dua hala dalam penyelidikan perhutanan, pembinaan kapasiti dan pemindahan teknologi.
Kenyataan daripada Pejabat Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah berkata MoU itu ditandatangani oleh Pengarah Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad bagi pihak Kerajaan Sarawak manakala Australia National University diwakili Dekan Kolej Sains Profesor Kiaran Kirk.
MoU itu ditandatangani dalam satu majlis yang disaksikan Awang Tengah di Canberra, Australia kelmarin.
Antara lain, MoU itu bertujuan memajukan fungsi ekosistem hutan lestari, pemuliharaan biodiversiti, inisiatif iklim dan tenaga serta pengurusan hutan lestari.
“Ia juga memberi tumpuan kepada perhutanan ladang, pengurusan kebakaran hutan serta peluang untuk pembangunan pegawai dan penyelidik melalui pembinaan kapasiti dan bidang kerjasama lain yang dipersetujui bersama,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, delegasi Sarawak menyertai taklimat dan dialog dengan pegawai dari Australia Capital Territory Government (ACT), termasuk wakil Direktorat Perancangan Alam Sekitar dan Pembangunan Lestari serta Jabatan Pertanian, Perikanan dan Perhutanan.
“Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar serta Jabatan Hutan Sarawak komited terhadap pengurusan mampan dan pemuliharaan sumber hutan.
“Usaha itu ditujukan untuk memelihara warisan semula jadi Sarawak yang kaya bagi generasi akan datang, sekali gus mengimbangi integriti ekologi dengan keperluan masyarakat tempatan,” kata Awang Tengah dalam kenyataan itu.