LAWAS, 13 Ogos: Seorang lelaki dijumpai meninggal dunia apabila terjatuh ke dalam parit di kebun di Sg Arur, Long Tuma di sini, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Sarawak berkata mayat Ricky Siring, 56, dijumpai anaknya pada 7.40 pagi dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri.
Anak mangsa kemudian menghubungi bomba yang menerima panggilan pada 8.28 pagi.
“Isteri mangsa mengarahkan anaknya untuk menjenguk mangsa di kebun kerana kebiasaannya, mangsa harus menghantar isterinya turun kerja.
“Setiba di lokasi, anggota omba mengusung mangsa menggunakan pengusung untuk dibawa ke atas dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan,” katanya menerusi kenyataan.
Jurucakap itu menjelaskan, pihaknya dimaklumkan bahawa mangsa melawat kebun pada awal pagi untuk mengutip buah-buahan.
Setibanya di lokasi kejadian kawasan titi melintasi anak sungai, mangsa disyaki tergelincir terjatuh ke dalam anak sungai.
“Mangsa membawa bakul besar untuk menyimpan buah ketika melalui titi tersebut untuk dibawa pulang ke rumah,” katanya.