KUALA LUMPUR, 12 Ogos: Industri telekomunikasi kini bergelut dengan cabaran dalam mendapatkan bekalan tenaga boleh baharu (RE) yang sebahagian besarnya disebabkan sumber tenaga hijau mampan yang terhad, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Edotco Group Sdn Bhd Mohamed Adlan Ahmad Tajudin.
Beliau berkata mempunyai bekalan RE yang mencukupi adalah penting untuk menyokong peralihan yang lancar kepada ekonomi hijau.
Salah satu cabaran utama dalam pembekalan RE ialah kekurangan infrastruktur sokongan, katanya sambil menambah beberapa negara Asia Selatan termasuk Pakistan, Bangladesh dan Myanmar menghadapi masalah grid kuasa.
“Sesetengah daripada mereka mempunyai sistem grid kuasa yang tidak stabil manakala beberapa kawasan tidak mempunyai grid kuasa langsung,” katanya kepada Bernama pada acara ‘Forward Faster Now: Asia and Oceania Summit’ (Maju Lebih Pantas Sekarang: Sidang Kemuncak Asia dan Oceania) awal minggu ini.
Sidang kemuncak itu dianjurkan oleh United Nations Global Compact, dengan kerjasama 16 Global Compact Country Networks dan pejabat serantau di Asia dan Oceania.
Walaupun sesetengah negara menawarkan mekanisme untuk memastikan kuasa yang diambil daripada grid tenaga boleh baharu, namun bekalan tetap terhad, kata Mohamed Adlan.
Di Malaysia, syarikat boleh melanggan Sijil Tenaga Boleh Baharu (REC) yang membolehkannya mendapat manfaat daripada skim Tarif Galakan (FIT), atau memasang panel solar di bawah mekanisme Pemeteran Tenaga Bersih.
“Bagaimanapun, bekalan RE masih terhad pada masa ini dan ia adalah atas dasar ‘siapa cepat dia dapat’,” katanya sambil menambah menjana tenaga bersih boleh menjadi usaha yang mahal, membawa kepada penetapan harga yang premium.
Memandangkan cuaca Malaysia yang cerah, tenaga solar telah menjadi pemain utama dalam peralihan tenaga hijau negara, membantu mengurangkan pelepasan karbon dan penggunaan bahan api.
“Di beberapa pasaran (asing) tempat kami beroperasi, tenaga solar membantu Edotco mengurangkan penggunaan bahan api sebanyak kira-kira 50 peratus dan mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 49 peratus setiap tahun, selain menurunkan perbelanjaan operasi kami,” katanya.
Semasa Pembukaan Perbincangan Panel Ketua Pegawai Eksekutif Peringkat Tertinggi pada sidang kemuncak dua hari yang berakhir 6 Ogos, Mohamed Adlan berkata komitmen Edotco adalah untuk bekerjasama dengan pengawal selia bagi memajukan dasar RE.
Beliau juga menekankan kesediaan pelanggan untuk menggunakan tenaga mampan sebagai satu lagi cabaran, menunjukkan pentingnya kerjasama rapat dan komunikasi telus bagi mencapai hasil yang berjaya.
“Adalah penting untuk bekerjasama rapat dengan pelanggan kami sepanjang usaha ini, memastikan ketelusan dan perbincangan terbuka mengenai semua perkara,” tambahnya.
Ditubuhkan pada 2012, EDOTCO Group ialah syarikat perkhidmatan infrastruktur telekomunikasi serantau dan bersepadu yang pertama di Asia menyediakan penyelesaian hujung ke hujung dalam sektor perkhidmatan menara, daripada pajakan menara, binaan mengikut kesesuaian, tenaga dan penghantarannya kepada operasi dan penyelenggaraan.
Kumpulan itu mengendalikan dan mengurus portfolio serantau yang mengandungi lebih 58,000 menara di seluruh Malaysia, Indonesia, Bangladesh, Kemboja, Sri Lanka, Pakistan, Filipina, Myanmar dan Laos.
— BERNAMA
TAG: EDOTCO Group, telekomunikasi, RE, Mohamed Adlan Ahmad Tajudin, solar