KUCHING, 11 Ogos: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas bersetuju terhadap permintaan supaya beliau menjadi penaung Kongres Nasional Dayak (DNC).
Sehubungan itu, Douglas Uggah mahu masyarakat Dayak supaya bersatu padu untuk melakar masa depan yang lebih cemerlang.
Perayaan Hari Orang Asal Sedunia 2024 jadi platform berbahas isu dihadapi – Abang Johari
Pada masa sama, beliau turut menyeru agar masyarakat Dayak memberikan bekerjasama bagi menjayakan pelbagai inisiatif dan peluang yang menghasilkan impak positif.
“(Saya dilantik sebagai penaung dan) demi Dayak, saya terima.
“Oleh itu marilah kita bersama melakar masa depan kerana kita tiada pilihan lain (kerana perlu) maju ke hadapan, jangan undur ke masa lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Majlis Malam Kebudayaan sempena Sambutan Hari Orang Asal Sedunia Antarabangsa Cabang Borneo 2024 di Christian Ecumenical Workship Center di Kuching pada Sabtu.
Majlis turut dihadiri oleh delegasi dari Kalimantan, Indonesia serta Sabah selain ahli akademik dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan orang asal.
Pada majlis itu Douglas Uggah turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 kepada DNC.-TVS.