KUCHING, 8 Ogos: Petronas BeDigital Bootcamp membantu syarikat tempatan memupuk bakat graduan Sarawak.
Pengurus Rekrut dan Sumber Manusia SEB, Sim Swee Ling berkata program itu diadakan juga untuk mempersiapkan menghadapi dunia pekerjaan.
“Di Sarawak Energy kami mencari bakat tempatan yang memiliki hasil ekonomi yang cemerlang serta kualiti kepimpinan, menunjukkan kerjasama berpasukan yang baik dan kebolehsuaian kepada persekitaran yang berbeza.
“Kami melihat kerjasama (antara Petronas dan SEB) ini sebagai usaha yang bermanfaat untuk kedua-dua pihak meningkatkan kebolehpasaran graduan mereka melalui peningkatan kemahiran digital mereka.
“Bagi Sarawak Energy (melalui program ini) kami boleh memperoleh bakat yang diperkasakan dan dilengkapi dengan keupayaan digital. Inisiatif ini selaras dengan moto Sarawak Energy; Memperkasa Minda Muda,” kata Swee Ling.
Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS di Menara SEB baru-baru ini.
Untuk rekod penganjuran kali ini merupakan tahun kedua bagi SEB menyertai Petronas dalam program itu.
Dalam edisi sebelum ini, tiga graduan daripada seluruh Sarawak telah dipilih oleh SEB.
Dalam pada itu alumi program, Clairedora Jezreel John yang kini memegang jawatan sebagai Jurutera (Unit Pengedaran) di SEB berkata, melalui penyertaannya pada edisi sebelum ini dia berjaya memenuhi cita-citanya untuk bekerja di SEB.
Malah antara kelebihan lain yang diperoleh, Clairedora mengakui dirinya berjaya meningkatkan kemahiran komunikasinya selain meningkat keyakinan diri.
“Saya mengaplikasikan kemahiran yang saya telah pelajari daripada bootcamp setiap hari di tempat kerja saya. Saya dapati ia sejajar dengan nilai teras dan kecekapan kepimpinan yang diterapkan di Sarawak Energy,” jelasnya.
Petronas BeDigital Bootcamp diadakan kali kedua tahun ini dengan objektif sebagai landasan bagi memperkasakan graduan dengan kemahiran digital dan keusahawanan bagi mengatasi permintaan pasaran pekerjaan masa hadapan.
Pada 2023, program itu telah menyaksiksan seramai 40 pelajar menerima tawaran besyarat daripada Petronas serta rakan BeDigital Bootcamp yang mana antaranya adalah SEB. – TVS