KUCHING, 8 Ogos: Kementerian Pertahanan (MINDEF) meluluskan peruntukan sebanyak RM500 juta untukĀ projek penambahbaikan dan naik taraf aset pertahanan di Sarawak.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata peruntukan itu merangkumi ketiga-tiga cabang perkhidmatanĀ Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurutnya, ia antara usaha yang dilakukan kementeriannya dalam aspek pemerkasaan pertahanan di Sarawak dari tahun 2024 hingga tahun 2030.
āDalam pertemuan bersama Premier Sarawak hari ini, kita maklumkan mengenai usaha MINDEF membina dan menaik taraf beberapa bangunan aset ketenteraan di Sarawak yang diluluskan kira-kira RM400 juta termasuk dengan peralatan.
āJumlah itu untuk darat sahaja manakala jumlah secara keseluruhan untuk projek-projek pertahanan termasuk udara dan laut mencecah RM500 juta,ā katanya setelah melakukan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa, hari ini.
Mohamed Khaled memaklumkan, sejumlah RM42 juta juga turut disalurkan bagi projek senggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Sarawak.
Sehubungan itu katanya, Kerajaan Sarawak bersetuju supaya satu pasukan bertugas bersama ditubuhkan agar kesemua projek berkenaan dapat berjalan lancar tanpa timbulnya sebarang isu dan masalah.
Menurutnya, Sarawak yang kini pesat membangun dan mengalami pertumbuhan dan kemajuan, maka penting juga untuk melihat aspek pertahanan dan keselamatan diberi perhatian.
āPremier Sarawak bersedia dan memahami betapa pentingnya soal keselamatan dan pertahanan dipertingkatkan, sewajarnya MINDEF memastikan supaya kemajuan itu seiring dengan keamanan pertahanan yang patut disediakan di Sarawak,ā katanya.
Delegasi MINDEF dijangka mengadakan lawatan kerja ke Pemerintahan Medan Timur Tentera (PMTTD) di RKAT Kem Penrissen sebelah petang nanti. – TVS