PARIS, 7 Ogos: Cemerlang sebagai pelajar atau di trek larian, Gabby Thomas berkata dia sentiasa didorong oleh semangat underdog (peserta bukan pilihan) yang membara.
Pelari pecut Amerika Syarikat (AS) berusia 27 tahun itu yang melakar kejayaan dalam acara 200 meter di Sukan Olimpik Paris pada Selasa berkata, pencapaian berada di puncak dalam kariernya sebagai pelari pecut itu sebenarnya didorong oleh cara didikan yang diterimanya.
Dibesarkan oleh seorang ibu tunggal, Thomas berkata ibunya Jennifer Randall yang berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan dan bergelar profesor bidang psikometrik telah menetapkan ‘pelan’ untuk kejayaan akademik dan olahraganya.
“Dia (ibu) seorang yang pandai bergaul,” kata Thomas kepada The Guardian dalam temu bual baru-baru ini.
“Dia dibesarkan dalam kemiskinan di Mobile, Alabama tetapi ibu mengejar (impiannya) dan telah menunjukkan kepada saya bagaimana untuk melakukan perkara sama.
“Kami orang Afrika Amerika yang berpendapatan rendah tetapi ibu mahu saya berjaya, pergi ke sekolah yang baik dan mendapat biasiswa.
“Itu meletakkan mentaliti underdog dalam diri dan saya perlu membuktikan bahawa berhak berada dalam setiap ruang.
“Saya perlu membuktikan diri saya di Harvard (Universiti Harvard) dalam akademik (dan itu turut) membuatkan saya berjuang di ruang yang lain, khususnya trek,” katanya.
Selepas Harvard, Thomas berpindah ke Texas untuk mengejar impiannya berlari pada pentas Sukan Olimpik, matlamat yang dia tetapkan selepas menonton ikon trek Amerika Syarikat (AS) Allyson Felix berlumba.
Bagaimanapun, Thomas mengakui dia mengalami ‘sindrom meragui kebolehan diri sendiri’ ketika berlatih dengan atlet elit di Austin.
“Apabila saya berpindah (ke Texas), saya bukan seorang atlet Olimpik (malah) tidak rapat dengan mereka. Tiada siapa yang bercakap tentang saya berjaya menyertai pasukan Olimpik,” katanya dalam temu bual sebelum Sukan Paris.
“Kini saya seorang Olimpik, pemenang pingat Olimpik,” katanya.
Pada 2021, Thomas mencatatkan 21.61 saat dalam ujian masa dan menjadikannya wanita kedua terpantas dalam sejarah 200 meter di belakang Florence Griffith-Joyner.
Selepas meraih gangsa di Sukan Olimpik Tokyo, Thomas meletakkan sasaran emas di Paris (dan mencapainya menerusi) persembahan cemerlang pada Selasa. -TVS.