KUCHING, 7 Ogos: Kementerian Utiliti dan Komunikasi (MUT) telah mengeluarkan lesen kepada 13 syarikat pengeluar gas di Sarawak.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi berkata, pihak berlesen dibenarkan untuk menjalankan aktiviti berkaitan penjualan gas di Sarawak kepada Petrolium Sarawak Berhad (PETROS) selaku aggregator tunggal di wilayah ini.
Tambah beliau pengeluaran lesen tersebut bukan sahaja memastikan pematuhan ordinan berkaitan malah turut menandakan dedikasi Kerajaan Sarawak untuk menyokong pertumbuhan industri tenaga tempatan di sini.
“Kita telah melantik PETROS sebagai aggregator gas tunggal untuk perolehan, pembekalan, pengedaran dan penjualan gas asli di Sarawak.
“Jika ada pihak lain yang turut berminat untuk menjual gas kepada PETROS, dia (syarikat berkenaan) mesti mempunyai lesen berdasarkan undang – undang di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Penyerahan Lesen Pengedaran Gas di sini hari ini.
Jelas beliau sebelum ini antara syarikat yang menerima lesen pengedaran gas di sini termasuk Sarawak Shell Berhad, PETRONAS Carigali Sendirian Berhad dan PT Pertamina Malaysia Eksplorasi Produksi.
Bermula pada 1 Oktober depan, PETROS bakal mengambil alih peranan dalam semua aktiviti jual beli gas di Sarawak selepas lanjutan tempoh tiga bulan diberikan kepada PETRONAS untuk memuktamadkan rundingan penyeliaan pengagihan gas di sini. -TVS