BUTTERWORTH, 7 Ogos: Sekumpulan penunggang motoskal sedang dikesan melawan arus mengelak daripada sekatan polis pada Operasi Samseng Jalanan susulan video mereka tular semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner (ACP) Anuar Abdul Rahman berkata, kejadian di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) itu berlaku pada Ahad lalu.
Katanya, video berdurasi 38 saat itu menunjukkan sekumpulan penungang motosikal menunggang secara berbahaya dari arah Plaza Tol Bagan Ajam menghala Terminal Kontena Butterworth Utara.
“Hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku kira-kira pukul 7 petang kerana satu operasi oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik bersama Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti SPU bagi membanteras kegiatan samseng jalanan.
“Penunggang motosikal bertindak melawan arus bagi mengelak ditahan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar beliau, pada operasi berkenaan pihaknya menahan seorang penunggang motosikal mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya selain menyita 25 buah motosikal atas pelbagai kesalahan. – TVS