SRI AMAN, 7 Ogos: Seramai 150 pelajar dari lima buah sekolah menegah di sini mengikuti program PETRONAS Powering Knowledge – Discover PETRONAS @ Schools (DPS).
Menurut kenyataan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), program berkenaan antara inisiatif pihaknya mempromosikan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar sekolah di Sarawak.
PETRONAS turut optimis program berkenaan bertujuan untuk melahirkan individu dan masyarakat yang berilmu dan bermutu tinggi.
“Program ini adalah sebahagian daripada inisiatif PETRONAS bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dan dianjurkan bersempena Ulang Tahun ke-50 PETRONAS.
“Pelajar-pelajar dari SMK Sri Aman, SMK Lingga, SMK St Luke, SMK Melugu dan SMK Simanggang telah menyertai pelbagai aktiviti interaktif yang dianjurkan,” catat kenyataan berkenaan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat II Sarawak (Bakat Pembangunan), Datuk Francis Harden Hollis, Pengurus Besar Kanan PETRONAS Carigali Sdn Bhd Sarawak Asset (SKA), Noriani @Yati Mohamad, dan Pengurus Besar Kanan Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan PETRONAS, Abdullah Monshie.
Terdahulu, PETRONAS merasmikan sambutan Ulang Tahun ke-50 di sini, dengan penyalaan obor peringatan, sebahagian daripada jelajah “Perjalanan Obor Berkembar” di seluruh negara.
Obor itu diserahkan Pengurus Besar Kanan (SGM) PETRONAS Pengurusan Petroleum Malaysia, Anuar Ismail kepada Pengurus Besar Kanan, Penyampaian Projek dan Teknologi PETRONAS, Abang Jimmy Abang Mordian, untuk dibawa ke Kuching pada Jumaat ini, 9 Ogos.
Inisiatif itu melambangkan legasi dan komitmen berterusan dalam membina bakat untuk kemajuan industri dan negara. -TVS