KUCHING, 6 Ogos: Beberapa jalan raya di sekitar bandar raya ini akan ditutup sementara bagi acara perlumbaan berbasikal sempena Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 pada 14 hingga 17 Ogos ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata berkata, jalan yang akan ditutup adalah jalan akses Politeknik Kuching, Jalan Pehin Sri Adenan Satem (FAC), jalan Kampung Ulu Selang-lampu isyarat Telaga Air, lampu isyarat Kopodim dan lampu isyarat FAC menuju Matang Jaya.
“Polis akan menutup dan membuat lencongan jalan sementara secara berperingkat sekitar venue dan lokasi perlumbaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pengumuman penutupan dan lencongan sementara ini bertujuan untuk memudahkan orang ramai mengetahui jalan yang tutup bagi memudahkan dan mengelakkan kesesakan lalu lintas kelak.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk berhati-hati dan merancang perjalanan masing-masing bagi melancarkan acara berbasikal itu berlangsung,” katanya.