MIRI, 6 Ogos: Kuarters kediaman Komplek Ibu Pejabat Polis Miri terbakar menyebabkan tujuh penghuni hilang tempat tinggal malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral menerima laporan berhubung kes itu jam 7.10 malam dengan menggerakkan 14 anggota ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati kebakaran melibatkan seunit rumah struktur kekal kuarters kerajaan milik Ibu Pejabat Polis Miri. Kebakaran berlaku di tingkat tiga dengan anggaran terbakar 80 peratus.
‘Bagaimanapun, kesemua penghuni berjaya keluar menyelamatkan diri dan dilaporkan dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, size up berpandukan konsep RECEO dilakukan, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran 400 kaki, satu breeching, dua nozel sumber air dari tangki jentera dan pili bomba berhampiran sehingga api berjaya dipadam sepenuhnya.
“Setelah keadaan selamat, pasukan bomba bertolak balik ke balai. Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya. – TVS