MIRI, 6 Ogos: Festival What About Kuching (WAK) Miri yang pertama kali diadakan mendapat sambutan yang memberangsangkan dengan kehadiran lebih 30,000 pengunjung.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata rata-rata pengunjung terdiri daripada orang muda lingkungan umur 16 sehingga 35 tahun.
“Saya telah diberitahu pada hari pertama jualan dan sambutan daripada orang ramai adalah baik. Semalam dan hari ini sangat hebat,” katanya kepada media di WAK Miri di sini pada Ahad.
Pengunjung bukan sahaja terdiri daripada orang tempatan, tetapi juga dari negara luar seperti Brunei dan China.
Rata-rata pengunjung yang ditemui beliau juga memberi respon yang positif terhadap festival dengan pengunjung mengatakan mereka akan datang sekali lagi jika diadakan pada tahun hadapan.
Dengan kejayaan Festival WAK Miri, beliau menggalakkan kepada orang muda untuk melibatkan diri dan membawa minda kreatif mereka bersama kerana mereka mampu membawa sesuatu yang meningkatkan produk pelancongan.
Festival WAK Miri diadakan bermula 1 sehingga 4 Ogos di Coco Cabana. – TVS