MIRI, 5 Ogos: Projek Pembinaan Gantian Penuh SK Rancangan Sepupok, Subis siap 95.25 peratus setakat ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Infrastruktur) Datuk Aidel Lariwoo berkata sekolah tersebut dijangka siap pada penghujung Ogos ini.
“Projek ini mengalami sedikit masalah teknikal seperti bekalan air dan elektrik. Namun ia dapat diselesaikan dengan segera.
“Sekarang ini hanya tinggal kerja-kerja akhir untuk disiapkan. Untuk mengatasi masalah bekalan air, kami akan meletakkan tangki air aras tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke projek Pembinaan Gantian Penuh 6 Bilik Darjah, 8 Unit Rumah Guru, Asrama Pelajar dan Lain-Lain Kemudahan di SK Rancangan Sepupok di sini, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Rosey Yunus berkata, projek ini dapat mengurangkan beban ibu bapa yang terpaksa menghantar anak mereka ke sekolah lain kerana keadaan sekolah sebelum ini yang tidak dapat menampung kapasiti para pelajar.
“Terima kasih atas pembinaan sekolah yang sangat cantik dan saya yakin ia akan memberi semangat khususnya untuk anak kita untuk ke sekolah dan juga satu hadiah kepada kawasan kita di Skim Rancangan Sepupok,” katanya.