KUCHING, 4 Ogos: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menzahirkan ucapan selamat menyambut ulang tahun kelahiran ke-74 kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, hari ini.
“Semoga dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, diberikan kesihatan yang baik dan dipermudahkan oleh Allah SWT dalam semua urusan mentadbir Sarawak.
“Salam ingatan tulus ikhlas daripada TYT Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan isteri, YABhg. Toh Puan Fauziah binti Mohd Sanusi,” ujarnya menerusi Facebook rasminya, hari ini.
Selain itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri turut menyuarakan penghargaan terhadap usaha Abang Johari untuk membawa Sarawak ke arah pembangunan dan kemajuan.
Kata Nancy, melalui kestabilan politik yang berasaskan perpaduan masyarakat yang bersatu, rakyat Sarawak dapat menikmati pelbagai inisiatif dan bantuan untuk kehidupan yang lebih selesa serta masa depan sosioekonomi yang lebih terjamin. – TVS