KUCHING, 4 Ogos: Kerajaan Sarawak tidak menolak kemungkinan akan menghasilkan filem atau dokumentari mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada masa depan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari bagaimanapun berkata, perkara itu hanya akan dilakukan dengan memastikan ia bersandarkan fakta akademik.
“Kita merasakan generasi muda yang meminati undang-undang akan membuat kajian dan mempelajari tentang asal dan usul undang-undang termasuk MA63.
“MA63 bukanlah mata pelajaran elektif di peringkat persekutuan (namun) apabila generasi muda mengetahui sejarah di sebalik MA63, kita boleh membuat filem dan dokumentari berdasarkan fakta,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Pelancaran Biografi Gabenor Pertama Sarawak, Tun Openg di HIKMAH Exchange Event Centre (HEEC) di sini, hari ini.
Yang turut hadir kesemua Timbalan Premier Sarawak iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Biografi berkenaan ditulis oleh Felo Kanan Majlis Profesor Negara Datuk Dr Jeniri Amir.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata penghasilannya memerlukan kajian terperinci oleh ahli akademik bagi memastikan tiada persoalan berkenaan kecenderungan politik terhadapnya dibangkitkan. – TVS