BETONG, 4 Ogos: Seorang lelaki berdepan detik cemas selepas lori kontena yang membawa muatan panel solar dipandu terbakar di Jalan Lubok Antu, Kampung Jelukong di sini, pagi tadi.
Komander Operasi, PBK 1 KUP Abang Fhazil berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 7.21 pagi dengan menggerakkan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi didapati kebakaran melibatkan tayar di bahagian belakang sebuah lori kontena yang membawa muatan panel solar Hidro Batang Ai, Lubuk Antu bergerak dari Kuching.
“Pemandu Juli Nyok, 43, menyedari kepulan asap keluar dari bahagian tayar belakang treler dan terus memberhentikan lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya,kepala lori berjaya dipisahkan dari sambungan treler dan tiada kemalangan jiwa serta kecederaan dilaporkan.
“Pasukan bertindak memulakan kerja pemadaman menggunakan salur bantu mula untuk memadam kebakaran sehingga api padam sepenuhnya. Pasukan juga membuka kontena tersebut untuk memeriksa muatan dan didapati kebakaran turut merebak ke dalam kontena.
“Media pemadaman menggunakan buih turut digunakan untuk memadam kebakaran di dalam kontena. Setelah api berjaya dipadam sepenuhnya, pasukan bertolak balik ke balai,” ujarnya. – TVS