MIRI, 4 Ogos: Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Daerah Miri digalakkan untuk menubuhkan satu Pasukan Bantuan Sukarela (VAD) yang terdiri daripada warga emas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, unit tersebut daripada mereka yang telah bersara dan ingin memberi perkhidmatan sukarela melalui BSMM Miri.
“Dahulu kita ada satu Pasukan Bantuan Sukarela (VAD) daripada warga emas. Saya berharap kita akan menubuhkan lagi semula satu VAD bagi warga emas kita. Mereka yang telah bersara dan ingin memberi perkhidmatan sukarela kepada masyarakat.
“Saya ingin menganjurkan mereka menyertai BSMM. Kita boleh tubuhkan satu VAD Khas untuk warga emas kita. Saya berharap ini dapat ditubuhkan dan pada tahun baharu nanti, kita ada satu unit daripada warga emas,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Perbarisan Tahunan 2024 Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Daerah Miri di Padang Majlis Bandaraya Miri (MBM) pada Ahad.
Kim Shin merangkap Penasihat BSMM Daerah Miri turut menggalakkan rakyat yang berminat untuk mengambil latihan pertolongan cemas kerana BSMM Miri menganjurkan latihan tersebut secara percuma.
Dalam pada itu beliau memberi penghargaan kepada BSMM Miri yang aktif memberi perkhidmatan dan kebajikan untuk memberi bantuan secepatnya kepada masyarakat yang memerlukan, selain memberi latihan berdisiplin yang memberi nilai positif kepada para pelajar.
Perbarisan ini diadakan bagi meraikan sempena Hari Palang Merah Dan Bulan Sabit Merah Sedunia bertemakan ‘Keeping Humanity Alive’, dengan penglibatan dari 17 buah sekolah dan pelajar kanak-kanak istimewa Sunflower Centre Miri. -TVS