MIRI, 1 Ogos: Mengendalikan pandemik COVID-19 selama setahun lebih sebelum ini, bekas Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mendedahkan pernah tersepit di antara ideologi politik pembangkang dan kerajaan ketika itu.
Menurutnya situasi sedemikian turut memberikan tekanan kepada penjawat awam yang bertungkus-lumus berada di barisan hadapan menangani penularan wabak berkenaan.
“Jadi apa yang kita cakap kadang-kadang dipersoalkan dan sebagainyalah. Sepatutnya ketika itu kalau kita bersatu lagi kuat, lagi teguh kita. Tapi kalau kita tak bersatu jadi inilah kekangan politik yang kita ada memberikan tekanan kepada penjawat awam ketika itu.
“Hinggakan satu masa kita tidak ada ahli politik dalam dua minggu, tiada kerajaan tapi penjawat awam kena menguruskan negara dengan menggunakan kaedah terbaik yang telah kita diamanahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS selepas mengendalikan ceramah bertajuk ‘The Role of Art in Mental Health’ sempena Miri Arts Festival (MAF) di Pullman Waterfront Miri, hari ini.
Dr Noor Hisham mengakui para penjawat awam terutama mereka yang berada di barisan hadapan menghadapi tekanan yang amat tinggi.
Beliau menggambarkan bahawa jika kesilapan yang dilakukan oleh seorang pakar bedah boleh menyebabkan pesakit kehilangan nyawa.
Namun, ujarnya sekiranya berlaku kesilapan dalam pentadbiran kesihatan awam ia sekali gus akan menjejaskan seluruh negara serta kehilangan berjuta nyawa.
“Jadi itulah satu kebimbangan kita hadapi dan kita melihat bagaimana kita dapat menguruskan pandemik ini dengan baik kerana inilah pandemik yang kita tidak pernah tengok dalam tempoh 100 tahun.
“…dan sekarang apabila menghadapinya kita ada jangka masa enam bulan belajar dari negara-negara yang terdahulu daripada kita,” ujarnya.- TVS